Tentang IT dan Komputer

Teknologi Informasi

ARPANET PERINTIS INTERNET

Posted by intrik on June 19, 2007

Kajian Oleh : NIK ZAFRI ABDUL MAJID

Artikel berikut diambil dari pelbagai sumber termasuk pengalaman pengarang sendiri menggunakan sistem NSFNET/USENET (yang terdahulu). Ianya telah diolah kembali dengan penuh teliti oleh pengarang bagi tujuan untuk mudah difahami oleh pembaca.

Hakcipta Terpelihara 2000 – Nik Zafri Abdul Majid. Penyalinan/penggunaan kembali harta intelek dalam apa juga bentuk tanpa kebenaran adalah bersalahan dari segi Undang-Undang.

SUMBER 1 – RINGKASAN ARPANET 

ARPANET merupakan rangkaian ujikasi, diwujudkan pada tahun 1969 oleh Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Jabatan Pertahanan (ARPA) ARPANET memudahkan penggunanya berkongsi maklumat dan sumber serta menjadi pelantar ujian bagi teknologi rangkaian.

Hasil kajian ARPANET telah membuahkan protokol TCP/IP, yang menentukan cara data dihantar dan dikongsi dalam rangkaian jaringan. Penggunaan TCP/IP secara lebih meluas hari ini telah melahirkan INTERNET.

ARPANET terus berkembang dan pada tahun 1983 dipecahkan kepada 2 rangkaian – ARPANET dan MILNET. Akhirnya pada tahun 1990, ARPANET dihentikan dan digantikan dengan NSFNET.

ARPANET adalah ringkasan kepada Advanced Research Projects Agency (ARPA) Network. Rangkaian ini ditubuhkan pada tahun 1969 oleh ARPA dan dibiayai oleh Jabatan Pertahanan. Pada awalnya, rangkaian ini hanyalah ujikasi yang digunakan untuk tujuan penyelidikan, pembangunan dan menguji teknologi rangkaian.

Jaringan awal telah menghubungkan 4 buah komputer hos di 4 buah universiti di Amerika Syarikat bagi memudahkan penggunanya berkongsi maklumat dan sumber.

Pada tahun 1972, terdapat 37 buah komputer hos yang mempunyai talian ke ARPANET. ARPA kini telah ditukar menjadi DARPA(Defense Advanced Research Projects Agency).

Pada tahun 1973, ARPANET telah melintasi sempada Amerika Syarikat dengan bertapak di England and Norway.

Sasaran utama ARPANET ialah membangunkan rangkaian yang akan tetap beroperasi walaupun terdapat sebahagian daripada rangkaian mengalami kegagalan. Kajian dalam bidang ini telah menemukan set peraturan rangkaian atau protokol yang dipanggil TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol).

TCP/IP merupakan protokol yang menentukan cara data dipindahkan menerusi rangkaian. Ianya juga mampu menerima komputer yang menggunakan sistem pengoprasian yang berbeza seperti DOS dan UNIX untuk mempermudahkan perkongsian data di rangkaian.

ARPANET berfungsi sebagai rangkaian tulang belakang yang memberi laluan kepada rangkaian tempatan yang lebih kecil mempunyai talian ke tulang belakang utamanya. Apabila rangkaian-rangkaian lebih kecil ini mempunyai talian ke ARPANET, dengan sendirinya mereka akan mempunyai talian antara satu dengan yang lain.

Pada tahun 1983, DARPA mencadangkan TCP/IP menjadi set yang piawai untuk komputer yang mempunyai talian ke ARPANET. Ini bermakna rangkaian yang lebih kecil (contohnya pusat pengajian tinggi-universiti dsb.) perlu menggunakan TCP/IP untuk mempunyai talian ke ARPANET.

TCP/IP boleh didapati secara percuma dan digunakan secara meluas oleh rangkaian-rangkaian. Peneybaran TCP/IP telah membantu membina Internet – rangkaian/jaringan yang menggunakan protokol TCP/IP atau berinteraksi dengan rangkaian-rangkaian TCP/IP.

ARPANET terus berkembang melibatkan rangkian universiti dan kerajaan.

Bagi memudahkan pengurusan yang semakin berkembang, pada tahun 1983, ARPANET telah dipecahkan kepada dua bahagian rangkain iaitu:

ARPANET – terus digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan rangkaian.

MILNET – rangkaian yang tidak diklasifikasikan dan terhad kepada laman ketenteraan.

Pada tahun 1986, jaringan tulang belakan yang lebih pantas diperkenalkan iaitu NSFNET (National Science Foundation Network). Pada tahu 1989, terdapat 10,000 komputer hos mempunyai talian kepada INTERNET, atau “rangkaian kepada rangkaian”

Disebabkan kejayaan NSFNET, kesemua laman yang mempunyai talian di ARPANET diserapkan peringkat demi peringkat ke NSFNET dan pada tahun 1990, ARPANET telah dimansuhkan.

 

SUMBER BERIKUTNYA

ABSTRAK

ARPANET atau Advanced Research Projects Agency Network adalah merupakan ciptaan sistem perintis kepada evolusi INTERNET. Ianya bermula menerusi projek ARPANET naungan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. ARPANET berjaya dicipta disebabkan kualiti sokongan dan stail pengurusan ARPA. Dengan mengimbas kembali sejarah ARPANET yang kini mempunyai nilai estetika yang tinggi akan jawapan kepada budaya jaringan ‘tanpa sempadan’ yang kita kenali kini sebagai internet. Ianya juga telah menjadi pemangkin yang kuat kepada subjek sains komputer.

Sejarah ARPA dan ARPANET

Boleh dikatakan ARPANET dimanifestasikan hasil daripada penyelidikan dan pembangunan yang lama dan penuh ketelitian. Agensi Advanced Research Projects telah ditubuhkan berorientasikan penyelidikan dan bukannya produk berasaskan peperangan semata-mata. Penubuhannya adalah berdasarkan reaksi Amerika Syarikat terhadap pelancaran Sputnik pada tahun 1957 oleh pihak Russia. ARPA yang diketuai oleh Dr. J.C.R. Licklider telah ditugaskan untuk menyelidik cara-cara memaksimakan pelaburan keatas komputer menerusi Penyelidikan Arahan dan Kawalan (CCR)

Kehadiran Licklider telah telah menjadikan ARPA sebagai sebuah pusat akademik komputer yang terbaik. Tatkala itu corak pemerosesan berkelompok (batch) berkomputer telah diperkenalkan. Licklider telah membaikpulih sistem arahan dan kawalan dengan memperkenalkan unsur-unsur interaktif ke dalam pemerosesan berkelompok sehingga terlahirnya Teknik Pemerosesan Maklumat (IPT/IPTO).

Tujuan Licklider memperkenalkan perubahan berkenaan adalah bertujuan untuk mempermudahkan masyarakat berinteraksi dan berkomunikasi secara rangkaian sistem perkongsian maklumat/ditalian. ARPA telah membawa arus baru malah anjakan paradigma dalam bidang sains komputer yang selama ini menghadkan penggunaan komputer sebagai mesin matematik yang canggih. 

Teknik Pemerosesan Maklumat terus ditingkatkan secara berterusan sehingga terlahirnya sistem ARPANET yang kini dikenali sebagai INTERNET. Kewujudan ARPANET tidak akan berlaku tanpa komitmen yang ditunjukkan oleh ahli “keluarga” ARPA terhadap penyelidikan berterusan tanpa memikirkan soal keuntungan terlebih dahulu. ARPANET juga pernah diperkembangkan menjadi sistem USENET yang banyak menekankan kepada kesesuaian dan kepelbagaian penggunaan jaringan, perisian dan perkakasan komputer serta kesannya dalam komunikasi. 

Tanpa ARPANET, tidak mungkin wujudnya Internet yang kini telah digunakan sebagai pelantar perniagaan kira-kira 2 1/2 dekad selepas kemunculan “bapanya” iaitu ARPANET. Ramai tokoh sains dan intelektual antrabangsa berpendapat bahawa kejayaan ARPANET dan kemudiannya internet bukanlah sesuatu yang terlalu teknikal tetapi lebih tertumpu kepada faktor-faktor kemanusiaan. Contohnya, bagaimana sistem jaringan ini telah mempermudahkan komunikasi; umpamanya menerusi e-mail; dengan hanya menggunakan komputer sebagai “orang tengah”. Ianya juga telah mempermudahkan perkongsian maklumat secara bebas dan benar-benar demokratik disamping meninggikan ilmu pengetahuan dikalangan masyarakat yang tahu memanfaatkan maklumat. 

ARPANET terus ditingkatkan dengan adanya protokol komunikasi secara inter-host yang melibatkan karektor dan transmisi blok, pemeriksaan ralat dan penghantaran kembali, komputer dan pengenalan pengguna.

Dalam usaha untuk mewujudkan jaringan antara komputer, 2 masalah penting perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu :-  

  1. Untuk membina satu ‘sabrangkaian’ yang terdiri daripada litar telefon dan nod swis dimana reliability, karektoristik tangguh (delay), keupayaan dan kos akan memudahkan perkongsian sumber antara komputer secara jaringan
  2. Untuk memahami, merekabentuk dan membangunkan protokol dan prosedur dalam sistem pengoprasian pada setiap komputer yang dihubungkan, bagi memudahkan penggunaan sabrangkaian yang baru dalam perkongsian sumber.

ARPA juga telah mengadakan pelbagai pertemuan pada bulan Oktober, 1967 bagi membincangkan isu protokol dan spesifikasi untuk Interface Pemeroses Pesanan (IMP). Interface Pemeroses Pesanan akan menentukan kaedah menghubungkan komputer hos menerusi talian telefon. Perhubungan hos ke rangkaian akan bergantung kepada jenis vendor. 19 hos telah diserapkan kedalam program “Rangkaian ARPA”

Kontraktor ARPA telah mula sibuk memikirkan aspek-aspek pelbagai yang relevan dengan perancangan dan pembinaan ARPANET. Sebahagian daripada tugasan berkenaan ialah menentukan pra-rekabentuk rangkaian dan sabrangkaian Interface Pemerosesan Pesanan.  

Pada penghujung tahun 1967, ARPA telah menugaskan Institut Penyelidikan Stanford; yang diketuai oleh Elmer Shapiro; bagi membangunkan spesifikasi sistem komunikasi.  

Kajian Perancangan Program ARPA untuk mewujudkan ARPANET yang bertajuk “Perkongsian Sumber dalam Rangkaian Komputer” telah dikeluarkan pada bulan Jun, 1968. 

Pada penghujung Disember, 1968, suatu kajian yang bertajuk “Parameter Rekabentuk Rangkaian Komputer” pula telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Stanford hasil kerjasama Shapiro, Glen Culler, Robert, Wessler dan Professor Leonard Kleinrock (UCLA) 

Secara keseluruhannya laporan-laporan dan kajian berasaskan ARPANET bertujuan untuk membangunkan pengalaman dalam sambungan jaringan komputer bagi meningkatkan produktiviti dalam penyelidikan komputer menerusi perkongsian sumber. Ini dicetuskan oleh keperluan teknikal dalam suasana saintifik dan ketenteraan. Kesemua pusat penyelidikan komputer naungan Teknik Pemeroses Maklumat akan menjadi pelantar ujian yang unik terhadap ujikaji rangkaian komputer selain daripada memberikan manfaat kepada pihak ketenteraan. Perkhidmatan Pembekalan Jabatan Pertahanan telah bersetuju untuk menjadi agen/panel pemilihan kontraktor untuk ARPA. Jadual 5 tahun untuk pembelian, pembinaan dan operasi rangkaian telah dirangka dengan belanjawan yang mencecah angka jutaan ringgit.

Perkhidmatan Pembekalan Jabatan Pertahanan yang berpusat di Washington telah mengenalpasti ratusan kontraktor berpotensi. Banyak penender yang mendakwa mereka mampu meningkatkan lagi rangkaian yang diperkenalkan oleh ARPA menerusi rekabentuk dan pembangunan sabrangkaian antara Interface Pemeroses Pesanan. 

Akhirnya Firma BBN telah berjaya memenangi kontrak berkenaan. Namun begitu masalah teknikal kedua masih belum dapat diselesaikan. Satu protokol bagi membenarkan hos untuk berkomunikasi antara satu dengan lain menerusi sabrangkaian perlu dibangunkan. Ini bermakna perisian dan perkakasan tidak kira jenisnya perlu dihubungkan dengan sabrangkaian IMP. Tugas ini amat mencabar disebabkan setiap tapak/laman hos adalah berbeza disebabkan corak pengaturcaraan, pembangunan perisian serta rekabentuk perkakasan.  

4 laman ARPANET yang pertama ditugaskan untuk membekalkan perkhidmaatan sokongan perangkan atau sumber unik. Mereka juga memiliki keupayaan teknikal untuk membangunkan protokol komunikasi antara komputer. 4 laman berkenaan adalah :-  

  1. UCLA
  2. Pusat Pengukuran Rangkaian SRI
  3. Pusat Maklumat Rangkaian UCSB
  4. Matematik Interaktif Culler-Fried UTAH – grafik (hidden line removal)

Laman yang pertama menggunakan IMP adalah UCLA diketuai oleh Professor Kleinrock yang telah lama melibatkan diri dalam pembangunan ARPANET. Usahanya mengenai kefahaman terhadap teori queue bagi mengukur aktiviti rangkaian telah banyak membantu ARPANET. Bagi memperkuatkan ketepatan statistik untuk tujuan analisis, maka laman UCLA perlu berorientasikan pengukuran. UCLA kemudiannya ditugaskan menjadi Pusat Pengukuran Rangkaian (NMC) ARPANET.

Kumpulan Kerja Rangkaian

Setelah UCLA dipilih menjadi NMC, masalah teknikal selanjutnya ialah bagi menjadikan hos-hos dapat berkomunikasi menggunakan protokol. Untuk ini, Elmer Shapiro daripada SRI pula dipilih. Pada peringkat awalannya, walaupun mesyuarat demi mesyuarat (sekitar tahun 1968) diadakan dikalangan ahli Kumpulan Kerja Rangkaian (NWG) yang terdiri daripada pakar-pakar pengaturcaraan, namun tiada resolusi konkrit dapat dicapai bagi masalah yang melibatkan jalinan angkutan atau pelantar perhubungan tahap rendah.  

Walaubagaimanapun, laporan penyudahan ARPANET menganggap mesyuarat NWG inilah yang menjadi titik-tolak kepada kemunculan ARPANET. Antara ahli yang aktif adalah Steve Carr daripada Universiti Utah, Stephen Crocker dari UCLA, Jeff Rulifson daripada SRI dan Ron Stoughton dari UCSB.  

Resolusi generik terakhir yang dicapai ialah perlunya pembinaan set jalinan protokol dengan perkhidmatan angkutan am di peringkat bawahan serta aplikasi pelbagai untuk protokol spesifik bagi peringkat atasan. 

Antara pembangunan protokol awalan ialah DEL (Decode-Encode-Language) dan NIL (Network Interchange Language). Ianya wujud untuk memberikan penerangan terhadap “penerimaan akhir” untuk memahami bagaimana penghantaran maklumat berlaku.  

Setelah BBN mengemukakan spesifikasi interface hos-IMP pertamanya pada 30 Ogos, 1969, NWG, BBN, dan Network Analysis Corporation (NAC) telah membuat pertemuannya buat julung kalinya. NAC adalah kontraktor ARPA bagi mengenalpasti rekabentuk topologikal ARPANET, menganalisa kos, prestasi dan karektoristik reliability. Memandangkan semua pihak yang terlibat mempunyai keutamaan-keutamaan tersendiri, mesyuarat tersebut menempuh pelbagai kerumitan. BBN hanya berminat dalam pembangunan perhubungan reliable pada tahap rendah. Para pengaturcara daripada laman hos pula berminat untuk menjadikan hos sebagai cara berkomunikasi antara satu dengan yang lain menggunakan program pada tahap tinggi.

Sebulan kemudian suatu mesyuarat di Utah diadakan bagi membincangkan perkara ini dikalangan perekabentuk protokol. Semua draf laporan diedarkan untuk mendapat komen dimana draf berkenaan telah menerima sambutan hangat. 

Crocker kemudiannya menggantikan Shapiro sebagai Pengerusi NWG, beliau meneruskan usaha pembangunan rebentuk protokol hos ke hos. Walaupun Crocker mempunyai wawasan serta menyedari betapa besarnya potensi komunikasi komputer dengan komputer, namun untuk merekabentuk protokol bukanlah perkara yang mudah. Perkakasan interface dan intrusion yang sesuai untuk sistem pengoperasian diperlukan dalam apa juga rekabentuk dan ini dapat menimbulkan kerumitan pada setiap laman.  

Dua IMP yang pertama diketengahkan oleh UCLA dan SRI telah membantu pelaksanaan protokol kerja oleh NWG. Set protokol hos yang pertama diperkenalkan ialah login remote untuk penggunaan interaktif (TELNET) dan kaedah penyalinan fail antara hos remote (FTP)

Pada ketika itu, sokongan hanya ditumpukan kepada perhubungan pengguna-pelayan asimetrik. Hasil mesyuarat Utah dengan Larry Roberts pada bulan Disember, 1969, suatu rekabentuk protokol hos-hos simetrik yang dikenali sebagai Program Kawalan Rangkaian (NCP) yang pada ketika itu bertumpu kepada pengurusan talian dalam sistem pengoprasian.  

Kumpulan Kerja Rangkaian NWG terus mendapat sambutan hangat dan lebih banyak laman dibina dan dihubungkan kepada ARPANET sehingga suatu Sidang Usahasama Komputer Musim Panas telah diadakan pada tahun 1971 di Atlantic City dan selanjutnya di MIT. Hasilnya amat memberangsangkan dimana hampir kesemua peserta mencuba login kedalam laman rakan sekerja mereka.

Cabaran utama dalam merekabentuk protokol hos ialah menjadikannya berupaya menampung semua jenis komunikasi serta sesuai pula untuk apa juga sistem komputer. Usaha awalan melibatkan entiti yang dipanggil NCP bagi mengadakan talian, memutuskan talian, menukar talian dan aliran kawalan. Pendekatan berjalinan telah diambil supaya prosedur kompleks seperti FTP dapat dibina berdasakan prosedur hos NCP.

Steve Crocker telah melantik Alex McKenzie dan Jon Postel bagi menggantikannya sebagai Pengerusi Bersama NWG. McKenzie dan Postel meneruskan usaha meninggikan tahap ARPANET secara bersinambung. 

ARPA (Advanced Research Projects Agency) merupakan badan pengurusan yang membiayai saintis akademik komputer. Konsep pengurusan pintar yang diamalkan oleh ARPA telah menyebabkan saintis mencipta ARPANET. BBN telah membantu dalam pembangunan teknik paket swis bagi mengagihkan maklumat.

Kumpulan Kerja Rangkaian akhirnya membuka dokumen mengenai ARPANET untuk mendapat komen dan maklumbalas warga teknikal umum dan tindakan ini telah meningkatkan kemajuan teknikal ARPANET. 

EPILOG

ARPANET menerusi NWG telah merintis jalan kepada pembangunan protokol TCP/IP (protokol kawalan penghantaran/protokol internet) yang lebih banyak menyelesaikan masalah keupayaan dan lain-lain.

Kejayaan sebenar ARPANET; mengikut ramai intelektual dan pakar teknikal; ialah kerana ianya dibuka kepada umum. Disinilah ARPANET mengalami peningkatan berterusan dari segi kualiti sehingga terlahirnya INTERNET.

Pendekatan “dari bawah ke atas” ternyata berbeza dengan “pendekatan atas ke bawah” (atau Pengurusan Kualiti Menyeluruh – TQM) yang banyak diamalkan oleh pembangunan protokol lain. Pembangunan yang menggunakan pendekatan “atas ke bawah” (centralisme MBO) lebih sulit dan tidak telus. Dengan konsep bawah ke atas (dan akses percuma kepada dokumentasi dan spesifikasi protokol untuk diberikan komen), model ARPANET telah membuka ruang kepada orang awam dan warga teknikal sejara keseluruhan bergabung tenaga meninggikan taraf protokol ke tahap sebaik mungkin.  

Disini jelas sudut dayasaing dan imej korporat ARPANET yang begitu mengambilkira dan teliti terhadap kehendak klien, kontraktor, subkontraktor, pelanggan dan pengguna secara am. Selain itu, para saintis komputer juga diberikan galakan yang kuat dalam usaha mereka menerusi falsafah ARPA. Teknik Pemerosesan Maklumat (IPT) sentiasa memberikan panduan pengurusan secara harian kepada para kontraktornya. Corak pengurusan yang efektif juga memainkan peranan menerusi kontrak penyelidikan yang agak terbuka dimana kontraktor bebas untuk membuat inovasi selagi untuk meningkatkan ARPANET. 

Draf Laporan Penyudahan ARPANET menyebut :-

“Pembangunan ARPANET merupakan suatu aktiviti yang padu dan ianya dihasilkan oleh sidang saintis yang terbaik di Amerika Syarikat. Dengan itu, segala masalah teknikal utama mendapat perhatian dan pendekatan terperinci terhadap masalah-masalah berkenaan sentiasa berubah.”  

Hasilnya, sebagaimana disebut oleh Laporan Penyudahan, ialah perspektif baru dalam arena perkakasan komunikasi komputer dan bukannya semata-mata terhad kepada unsur pengiraan, pengukuran dan matematik. Walaupun begitu, masih banyak pihak yang terlibat dalam sains komputer belum begitu memahami kenapa ARPANET merupakan breakthrough dalam bidang mereka. Jika falsafah ARPANET tidak dapat difahami sepenuhnya, sudah tentu INTERNET juga akan gagal difahami.

 

Nota Pengarang

Setakat artikel ini ditulis, internet sedang dipertingkatkan menjadi peer-to-peer network – adalah dipercayai konsep ini akan diasaskan kepada ARPANET/USENET/NSFNET (tetapi lebih maju)  

Konsep peer-to-peer network dijangka memberikan laluan langsung/terus-menerus kepada mana-mana pelayan atau komputer peribadi (rantaian pelayan-komputer-pelayan) yang berdekatan bagi memudahkan downloading/uploading serta pertukaran/perkongsian maklumat/sumber, e-dagang (dan seumpamanya) dengan lebih cepat, teratur, terancang, telus, murah dan menjimatkan kos. Ianya juga dijangka akan mudah memanifestasikan unsur multimedia secara maya dengan gangguan talian yang minima.  

Unsur ini juga akan menggabungkan elemen-elemen yang sedia ada seperti WAN/LAN, Jaringan LAN Tanpa Wayar (WLN), Intranet, Jaringan Maya Peribadi (VPN) termasuklah Protokol Aplikasi Tanpa Wayar (WAP). PC, sistem pengoprasian, (dikatakan mengambilkira unsur lebih mudah ala-DOS tetapi lebih canggih – mungkin seperti Linux), perkakasan dan pelantar (dikatakan akan mengambilkira sistem ala-Macintosh dengan pelantar Motorola) akan ditingkatkan tarafnya ke tahap ala-kerangka utama atau komputer mini. Ianya mungkin akan diperkembangkan kepada televisyen digital, jam tangan, pad, dsb. 

Konsep ini masih dalam perbincangan kerana masalah sekuriti seperti firewall, SET, SSL, isu pengekalan internet sebagai alternatif layaran menerusi gateway, ISP yang lebih versatile, Broser yang sesuai, satelit/bandwidth dsb.(banyak lagi aspek) termasuklah anjakan paradigma pengguna peer-to-peer network untuk menjadi lebih telus dan mewujudkan penyatuan dalam jaringan.

 Nota Tambahan

Kampus Rangkaian Komputer UCLA (CCN) mendapat talian ke ARPANET (ditawarkan oleh ARPA/IPTO) adalah hasil usaha gigih Professor L. Kleinrock and muridnya, termasuk S. Crocker, J. Postel, dan V. Cerf. Kumpulan ini bukan sahaja terlibat dalam rekabentuk asal rangkaian dan protokol hos, tetapi juga menguruskan Pusat Pengukuran Rangkaian (NMC).

Kumpulan penyelidik yang mendapat sokongan kuat dari ARPA/IPTO telah diberikan galakan kuat untuk merekabentuk dan melaksanakan protokol, prosedur dan modifikasi program komputer hos supaya dapat digunakan dalam sabrangkaian. UCLA kemudiannya diberikan tugas menguruskan NMC dengan tujuan menilai, menyelaras, membina dan menyelenggarakan prestasi rangkaian tersebut. SRI pula ditawarkan oleh NMC untuk mengumpulkan maklumat mengenai rangkaian berkenaan, sumber hos, dan mewujudkan peralatan penyimpanan dan akses kepada maklumat berkenaan. Selain itu kebanyakan kontraktor adalah pembangun protokol hos bagi tujuan komunikasi pelbagai hala menerusi sabrangkaian. Kumpulan Kerja Rangkaian (NWG) pula terdiri daripada mereka yang berkepentingan daripada laman hos yang diberikan galakan oleh ARPA. NWG dianggap sebagai pihak ‘separa’ berkuasa dalam bidang mereka.  

Pusat Rangkaian Maklumat

Akses kepada sumber yang diagihkan telah meninggalkan impak terhadap perkhidmatan maklumat (samada berpusat atau diagihkan) yang memudahkan pengguna untuk mempelajari sumber-sumber ini. Ini telah dikenalpasti dalam mesyuarat PI di Michigan, Musim Bunga 1967. Tatkala itu, Doug Engelbart dan kumpulannya di Institut Penyelidikan Stanford sedang melibatkan diri dalam pembangunan dan penyelidikan bagi membekalkan kemudahan berasaskan komputer untuk meninggikan interaksi manusia. Akhirnya, Insitut Penyelidikan Stanford telah ditukar menjadi Pusat Rangkaian Maklumat (NIC) bagi ARPANET. Dengan bermulanya pelaksanaan rangkaian pada tahun 1969, NIC juga telah dibina di SRI.

Pemasangan IMP yang Pertama

IMP yang pertama telah dihasilkan di UCLA pada bulan awal September, 1969. Kemudian ianya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat setiap bulan. Di UCLA, sebuah interface hos IMP telah dibina. SDS, pembangun Sigma 7, bersama-sama dengan Mike Wingfield, graduan UCLA telah mengorbankan masa (6 minggu) dan kewangan serta pada kos yang minima untuk menyiapkannya. Bahagian perisian pula mengambil masa beberapa minggu untuk membuat debugging keatas perisian. BBN telah menghantar IMP mereka pada bulan penghujung bulan Ogos disamping membantu dalam peningkatan perisian.

IMP kedua telah dihantar ke SRI pada awal bulan Oktober dan ARPA semakin berjaya. Larry Roberts dan Barry Wessler telah membuat lawatan pada bulan November dan ARPA berjaya mendemonstrasikan hubungan langsung dengan SRI menerusi sistem ala-TELNET.  

Persidangan Membincangkan Dokumentasi

Kumpulan Kerja Rangkaian terdiri daripada Steve Carr-Utah, Jeff Rulifson dan Bill Duvall – SRI, serta Steve Crocker dan Gerard Deloche – UCLA.  

NWG menaruh minat yang tinggi terhadap perisian hos, strategi menggunakan rangkaian dan ujikaji awalan keatas rangkaian. 

Kandungan

Kandungan nota NWG mengandungi pendapat, idea dan lain-lain mengenai aspek perisian hos dan lain-lain aspek berhubung dengan rangkaian. Setiap nota mengandungi apa juga komen samada teknikal mahupun falsafah diambilkira. Nota-nota yang diterima biasanya menjadi input kepada standard atau piawaian.

Piawaian-piawaian yang agak terperinci ini diwujudkan dengan dua motif utama. Pertama, setiap kenyataan bertulis adalah ipso facto autoritatif, dan diharapkan akan dapat menggalakkan pertukaran dan diskusi yang tidak begitu rumit. Kedua, setiap pendapat berbentuk falsafah diharapkan akan menjadi inspirasi untuk mewujudkan idea-idea teknikal pula. (lihat kes Leonardo De-Vinci yang melukis helikopter diatas salah sebuah lukisan cat minyak kanvasnya yang akhirnya menjadi idea pula kepada saintis untuk menciptanya dengan unsur-unsur teknikal – pengarang)

DOKUMEN-DOKUMEN/NOTA NWG/RFC

  1. Perisian HOS – Steve Crocker dan Bill Duvall

 

1. Jadual Rangkaian

2. Falsafah NIL

3. Spesifikasi NIL

4. Perisian HOS – Kajian lebih terperinci

 

b. Cadangan DTP dan FTP proposals”

c. Persidangan Paket Video Remote dan Angkutan/Rangkaian.

d. Komen BBN

e. Cadangan penyelarasan status talian

f. Prosedur Protokol Rangkaian

g. Saiz Bit untuk talian

h. Protokol kemasukan kerja Remote yang dicadangkan

i. Pertimbangan kembali konvensyen soket.

j. ICP

k. Protokol Akses Fail

l. Protokol Pindah Fail (FTP)

m. Protokol Hos/Hos

n. IMP/Pertukaran Protokol Hos

o. Protokol Peti Surat (Mailbox)

p. Arahan Kawalan Peruntukan Memori – CEASE, ALL, GVB, RET,RFNM

q. Strategi anjakan servis mail NCP/TCP

r. Protokol rangkaian

s. Servis nama hos ditalian

t. RCTE dari pengalaman pelaksanaan Tenex.

u. Protokol yang mampu dibaca oleh mesin

v. Pertukaran Protokol Telnet

w. Pertukaran Protokol IMP/Hos – Hos/IMP

x. Cadangan Meyer

y. Protokol Telnet terbaru dan pelaksanaannya.

z. Spesifikasi Telnet yang terbaru.

aa. Pilihan Telnet RCTE

ab. Protokol akan datang.

ac. Struktur nama soket.

ad. SQuID

ae. Protokol Rasmi

af. Talian Rangkaian.

ag. Tempoh Maklumbalas Debugging jaringan silang

ai. Bandwith jaringan antara negara

aj. Status Hos

ak. Cadangana format piawai jaringan untuk stream data grafik.

al. Status laman Illinois site

am. Protokol Laman Pengguna/Pelayan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: